Sunday, May 22, 2011

Jampi, Serapah & Mantera

Pengenalan

Pada masa kini, apabila sebut sahaja jampi serapah atau mantera, tanggap pertama yang terpacul difikiran adalah perkara  yang sinonim dengan kekufuran, syirik dan menduakan Allah swt. Masyarakat lebih suka memilih ruqyah berbanding dengan jampi. Sedangkan dari segi bahasanya, ruqyah itu bermaksud jampi. Bezanya cuma ruqyah lebih berupa petikan ayat Al Quran, selawat, atau doa ulama terdahulu yang diselang-selikan mengikut pengajaran guru mursyid.Tidak hairanlah masyarakat lebih suka memilih ruqyah berbanding jampi kerana sumbernya lebih jelas. RB timbulkan sersoalan di sini:

Contoh:
  • Anda adalah seorang yang sering disihir. Seorang guru mengajarkan anda untuk mengamalkan 4Qul sebagai pendinding. 
Persoalan:
  • Apabila mengamalkannya, adakah anda hafal kesemua makna keempat surah Qul tersebut?
  • Jika tidak hafal maknanya adakah tidak makbul atau tidak menjadi pendinding anda?
Awas:
  • Jika terdetik di hati anda berbunyi "aku mesti baca 4Qul setiap, kalau tidak aku kena sihir," atau "bagus 4Qul ni, aku baca, tak kena sihir..."
  • Sedar atau tidak iktiqad yang seperti itu juga mungkin meletakkan diri anda dalam keadaan yang syirik melabelkan ayat Quran lebih berkuasa daripada Allah (nauzubillah).
Rumusan:
  • Tidak kira apapun kaedah atau bahasa anda bermohon/berdoa, perletakkan permohonan tersebut hanyalah kepada Allah yang Esa.

Peringatan:
  • RB tidak menolak ruqyah.
  • Bukanlah hak manusia untuk melabelkan seseorang itu syirik atau tidak. Kita cuma berusaha untuk menghindarinya dan saling mengingati.
Berbalik kepada jampi serapah, seperti apa yang RB nyatakan, tidak kira apapun kaedah atau bahasa kita bermohon mestilah kepada Allah. Di waktu dahulukala, amat sukar untuk kita temui tahfiz. Akan tetapi kita tidak boleh menolak orang dahulu juga warak walaupun mereka tidak tahfiz Al Quran. Jadi pada pendapat RB, jampi serapah adalah satu bentuk doa tetapi bukan dalam bahasa Arab. Orang dahulukala, percakapannya halus dan berkias. Adalah tidak mustahil jika mereka berdoa juga menggunakan perkiasan, yang mana kebanyakkannya adalah bahasa sastera klasik. Adakah tidak makbul jika kita berdoa dalam bahasa Melayu? Makbul atau tidak, semuanya atas kehendak Allah taala. Apa yang penting butir-butir doa perlu difahami dan permohonan itu hanyalah kepada Allah.

Pada label "Mantera beradu" ini, RB kongsikan beberapa jampi yg RB jumpa dan ketahui untuk dikaji bersama atau sekurang-kurangnya untuk tatapan sahaja. Jika ada yang lebih mengetahui harap dapat diperbetulkan RB yang cetek ilmu ini. Kepada para guru, RB menyusun sepuluh jari memohon maaf jika perbuatan RB ini seperti mendedahkan rahsia kepada umum kerana RB percaya ada kaedah tertentu untuk menggunakan jampi serapah ini yang perlu dipelajari terlebih dahulu. Kepada pembaca dinasihatkan jangan mengamalkan membabi buta. Rujuklah kepada yang lebih arif terlebih dahulu.
Sekian.

No comments:

Post a Comment