Tuesday, May 24, 2011

Jampi Penderas

Kategori:Kependekaran
Tujuan:Melaju dan memberatkan serangan

Alif di atas aa,
Alif di bawah ii,
Alif di depan uu.

Jangan tidak percaya, ada serapah yang sebegini ringkas. Bunyi seperti kanak-kanak baru belajar mengaji Al Quran (yang guna kitab Muqaddam, yang guna kitab Iqra' tidak mengeja di atas, bawah dan depan). Sebagaimana yang RB gambarkan dalam garapan RB bertajuk serapah baju zirah, kadangkala musuh yang menyerang pendekar silam secara mengejut. Maka apa yang terlintas di fikiran, itulah yang didoakan.

Namun di sebalik ungkapan yang ringkas ini, mungkin ada makna yang tersirat. RB sendiri tidak tahu. Ini takulan seberono RB mengikut akal RB yang serba kurang. Mungkin tidak betul langsung. Namun logiknya ada. Alif di atas aa, ALLAH, aku bermohon kepada Allah. Alif di bawah ii, IKHTIAR, ini ikhtiarku. Alif di depan uu, UGAMA(ejaan lama), agar agamaMu maju ke hadapan (unggul). Rumusannya jampi ini berdoa, aku bermohon kepada Mu Allah agar jayakanlah ikhtiarku untuk memperjuangkan agamaMu.

Kenapa perlu di baca baris atas, bawah dan depan? Ia menunjukkan kedudukan. Allah di atas simbolik terhadap kekuasaanNya. Perjalanan Rasulullah semasa Israk dan Mikraj juga menggambarkan perjalanan menuju ke langit. Di bawah langit ada bumi dan manusia tinggal di bumi. Manusia perlu berikhtiar dan menjadi hambaNya. Di depan, segala apa yang manusia ikhtiarkan perlulah mengikut agama (syarak). Perkara yang diikut tentulah kedudukannya di hadapan. Hanya Allah lebih mengetahui.

Monday, May 23, 2011

Serapah Baju Zirah/Baju Besi

Kategori: Kependekaran
Tujuan: Menahan serangan musuh/ apabila terkena serangan musuh, badan tidak merasa sakit yang keterlaluan


Versi Pertama:

Tuhan aku Allah lindung   (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kanan)
Nabi aku Muhammad lindung  (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kiri)
Aku berlindung dengan kalimah (sambil membuat gaya menyarung baju keseluruhan pada badan)
La illaha illallah (sambil membuat gaya mengikat sabuk/bengkung)

Sekali imbas melihat ayat pertama serapah ini, sudah semestinya kita bertuhankan Allah yang Maha Esa, tuhan mana pula yang Allah nak lindung. Namun jika dikaji semula mungkin sepatutnya bacaannya seperti ini, "Tuhan aku Allah, lindung". Lindung di akhir ayat itulah yang menjadi doa kepada Allah yang diringkaskan dari erti kata "Ya Allah lindungilah aku". Hal yang sama mentafsirkan ayat yang kedua yang mana masih lagi doa tersebut dipanjatkan kepada Illahi. Maka apabila serapah ini dibaca dengan laju, sudah tentulah bunyi ayatnya akan menjadi pelik.

Versi kedua:

Nasrum minallah (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kanan)
Wafatul qorib (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kiri)
wabashiril mukminin (sambil membuat gaya menyarung baju keseluruhan pada badan dan mengikat bengkung)

Beza versi kedua ini adalah versi kedua adalah terdiri daripada petikan-petikan ayat Al Quran yang membawa maksud, "Pertolongan Allah, dan kemenangan itu hampir, dan berita kemenangan/gembira kepada orang mukminin."

Ada pihak yang akan mempertikaikan bahawa ayat Al Quran tidak boleh dipotong sebahagian dan dicantum dengan ayat yang lain. RB tidak dapat memberi komen mengenai pernyataan ini kerana RB tidak belajar menghukum. Sesungguhnya hukuman itu ketentuan Allah.

RB hanya dapat memberi gambaran ini: benar pendekar zaman dahulu apabila hendak pergi berperang mereka akan membuat persiapan dari segi jasmani dan rohani. Mereka akan mengaji Al Quran, bersolat sunat, berzikir dan barulah pergi berperang. Namun adakalanya serangan daripada musuh itu datang mengejut tidak dijangka. Dalam keadaan terdesak ini, apa yang terlintas difikiran para pendekar, itulah yang didoakan. Dan hasil daripada pengalaman pendekar-pendekar silam yang melalui pengalaman tersebut, doa ini mereka dapati makbul. Maka diajarkanlah kepada yang ingi belajar.

Sunday, May 22, 2011

Jampi Tuju Angin

Kategori: Perubatan
Tujuan: Mengurut dan menghilangkan angin dalam badan
Sumber: Rahsia

Bismillahir rahmannir rahim
Ya Allah, tuju Muhammad, tuju baginda Rasulullah
Bagi Allah, bagi Muhammad, bagi baginda Rasulullah
Walailaha illallah, wallahu akbar, Allah, Allah, Allah
Ya Allah sembuhkanlah penyakit (sebut nama pesakit)
Hanya pada Mu lah tempat aku bermohon ya Allah

Jampi ini menggunakan bahasa Melayu yang diselang-selikan dengan bismillah, tasbih dan selawat. Makna keseluruhan jampi ini jelas dan nyata. Baris kedua dan ketiga lebih berbentuk permohonan kepada Allah dengan berkat dan syafaat Nabi Muhammad supaya angin dalam badan atau pada tempat seliuh dituju keluar daripada badan.

Jampi, Serapah & Mantera

Pengenalan

Pada masa kini, apabila sebut sahaja jampi serapah atau mantera, tanggap pertama yang terpacul difikiran adalah perkara  yang sinonim dengan kekufuran, syirik dan menduakan Allah swt. Masyarakat lebih suka memilih ruqyah berbanding dengan jampi. Sedangkan dari segi bahasanya, ruqyah itu bermaksud jampi. Bezanya cuma ruqyah lebih berupa petikan ayat Al Quran, selawat, atau doa ulama terdahulu yang diselang-selikan mengikut pengajaran guru mursyid.Tidak hairanlah masyarakat lebih suka memilih ruqyah berbanding jampi kerana sumbernya lebih jelas. RB timbulkan sersoalan di sini:

Contoh:
  • Anda adalah seorang yang sering disihir. Seorang guru mengajarkan anda untuk mengamalkan 4Qul sebagai pendinding. 
Persoalan:
  • Apabila mengamalkannya, adakah anda hafal kesemua makna keempat surah Qul tersebut?
  • Jika tidak hafal maknanya adakah tidak makbul atau tidak menjadi pendinding anda?
Awas:
  • Jika terdetik di hati anda berbunyi "aku mesti baca 4Qul setiap, kalau tidak aku kena sihir," atau "bagus 4Qul ni, aku baca, tak kena sihir..."
  • Sedar atau tidak iktiqad yang seperti itu juga mungkin meletakkan diri anda dalam keadaan yang syirik melabelkan ayat Quran lebih berkuasa daripada Allah (nauzubillah).
Rumusan:
  • Tidak kira apapun kaedah atau bahasa anda bermohon/berdoa, perletakkan permohonan tersebut hanyalah kepada Allah yang Esa.

Peringatan:
  • RB tidak menolak ruqyah.
  • Bukanlah hak manusia untuk melabelkan seseorang itu syirik atau tidak. Kita cuma berusaha untuk menghindarinya dan saling mengingati.
Berbalik kepada jampi serapah, seperti apa yang RB nyatakan, tidak kira apapun kaedah atau bahasa kita bermohon mestilah kepada Allah. Di waktu dahulukala, amat sukar untuk kita temui tahfiz. Akan tetapi kita tidak boleh menolak orang dahulu juga warak walaupun mereka tidak tahfiz Al Quran. Jadi pada pendapat RB, jampi serapah adalah satu bentuk doa tetapi bukan dalam bahasa Arab. Orang dahulukala, percakapannya halus dan berkias. Adalah tidak mustahil jika mereka berdoa juga menggunakan perkiasan, yang mana kebanyakkannya adalah bahasa sastera klasik. Adakah tidak makbul jika kita berdoa dalam bahasa Melayu? Makbul atau tidak, semuanya atas kehendak Allah taala. Apa yang penting butir-butir doa perlu difahami dan permohonan itu hanyalah kepada Allah.

Pada label "Mantera beradu" ini, RB kongsikan beberapa jampi yg RB jumpa dan ketahui untuk dikaji bersama atau sekurang-kurangnya untuk tatapan sahaja. Jika ada yang lebih mengetahui harap dapat diperbetulkan RB yang cetek ilmu ini. Kepada para guru, RB menyusun sepuluh jari memohon maaf jika perbuatan RB ini seperti mendedahkan rahsia kepada umum kerana RB percaya ada kaedah tertentu untuk menggunakan jampi serapah ini yang perlu dipelajari terlebih dahulu. Kepada pembaca dinasihatkan jangan mengamalkan membabi buta. Rujuklah kepada yang lebih arif terlebih dahulu.
Sekian.