Wednesday, December 15, 2010

KENAPA RAJA BERADU...?

Raja beradu jika dilihat dengan kata mudah membawa maksud raja tidur. Namun nama ini dipilih bukanlah kerana penulis adalah seorang yang kuat tidur. Nama ini dipilih kerana penulis rasakan yang ia mengandungi maksud tersirat yang mendalam untuk direnungkan bersama. Asalnya nama Raja Beradu ini penulis pilih dari nama salah satu seni Gayong yang mana mangsa yang terkunci akan menggayakan satu gaya tidur.

Walau bagaimanapun penulis mengintepritasikan nama Raja Beradu mempunyai maksud yang tersirat. Dalam masyarakat Melayu raja dilihat sebagai satu simbol kuasa (daulat) tertinggi. Digeruni oleh setiap rakyat dan juga ahli istana. Raja yang tidur, tidaklah baginda bertitah, tiadalah baginda menjatuh hukum. Sebagaimana kehidupan sebagai manusia, sekiranyanya kita mempunyai kelebihan atau kehebatan berbanding manusia lain sebaik-baiknya cubalah disorokkan. Jika mempunyai kekayaan hiduplah secara sederhana, jika ada kecantikan atau kekacakan cukup sekadar kemas, jika mempunyai kekuatan jangan bermegah gunakan pada kebaikan, jika ada kepandaian jangan menunjuk dan ajarkan kepada yang ingin tahu.

Sedarlah yang hidup mendabik dada tidak mendatangkan apa-apa kebaikan selain mendedahkan diri kepada keburukan. Jika sombong dengan kekayaan, tiada masyarakat ingin bercampur kecuali mereka yang ingin mengambil kekayaan anda. Jika angkuh dengan kecantikan, bahaya akan sentiasa mengintai. Jika kagum dengan kekuatan, akan digeruni dan hilanglah nikmat kemesraan. Jika bongkak dengan kepandaian, maka sesatlah dalam dunianya sendiri.

Walau bagaimanapun, raja yang sedang tidur jangan dikejut. Salah gaya maka akan murkalah raja....