Thursday, July 21, 2011

Kekeliruan

Raja Berjadu dan bobsteyr adalah orang yang sama. Kurangnya pengetahuan RB dalam blogging membuatkan RB biarkan sahaja ia tidak berubah. Yang penting mesej dapat disampaikan kepada pembaca.

Mantera Masuk Bisa Peluru

Kategori: Kepahlawanan
Tujuan: Menjadikan peluru yang ditembak berbisa
Sumber: Pameran Mistik Senjata Nusantara, Muzium Negara

Seorang guru RB pernah bercerita pada RB kisah seorang pengawal Sultan Johor. Di Johor, sultan mempunyai askar sendiri dipanggil Johor Military Force dan pengawal sultan Johor dipilih daripada Pasukan tersebut. Sejak bila JMF wujud RB kurang periksa, mungkin zaman datuk RB lagi. Dikisahkan ada seorang pengawal sultan dikatakan sangat hebat menembak dapat menumpaskan seberapa ramai musuh yang datang. Namun apa yang menarik pengawal tersebut tidak pernah mengisi lebih dari tiga butir peluru dalam pistolnya. Kisah tersebut telah membuka mata RB yang ilmu kependekaran bukan terhad kepada senjata tajam sahaja malah senjata api juga. Mana nak cari ilmu sebegini. Nak sentuh senjata api pun belum tentu dapat.

Di suatu masa yang lain, sedang RB melihat-lihat bahan pameran di Muzium Negara, ternampak paparan jampi di bawah. Subahanallah, rupanya ilmu ini telah wujud sejak berzaman. Teringat pula RB kisah pelaut-pelaut Melayu yang mempunyai kesaktian tetapi diambil bekerja dengan Syarikat Hindia Timur dan memberontak menjadi lanun. Macam - macam kisah manusia di dunia. Walallahu a'lam.

Mantera Masuk Bisa Peluru

Hai sangka bujak
Pemelawaan gangga bujak
Singgah ke kulit jantung pia
Singgah ke daging jantung pia
Singgah ke urat jantung pia
Singgah ke darah jantung pia
Singgah ke tulang jantung pia
Singgah ke jantung jantung pia
Aku memakai doa isa peluru.

RB masih tercari-cari maksud bujak. Tekaan RB ianya berkait dengan senjata api.

Tuesday, May 24, 2011

Jampi Penderas

Kategori:Kependekaran
Tujuan:Melaju dan memberatkan serangan

Alif di atas aa,
Alif di bawah ii,
Alif di depan uu.

Jangan tidak percaya, ada serapah yang sebegini ringkas. Bunyi seperti kanak-kanak baru belajar mengaji Al Quran (yang guna kitab Muqaddam, yang guna kitab Iqra' tidak mengeja di atas, bawah dan depan). Sebagaimana yang RB gambarkan dalam garapan RB bertajuk serapah baju zirah, kadangkala musuh yang menyerang pendekar silam secara mengejut. Maka apa yang terlintas di fikiran, itulah yang didoakan.

Namun di sebalik ungkapan yang ringkas ini, mungkin ada makna yang tersirat. RB sendiri tidak tahu. Ini takulan seberono RB mengikut akal RB yang serba kurang. Mungkin tidak betul langsung. Namun logiknya ada. Alif di atas aa, ALLAH, aku bermohon kepada Allah. Alif di bawah ii, IKHTIAR, ini ikhtiarku. Alif di depan uu, UGAMA(ejaan lama), agar agamaMu maju ke hadapan (unggul). Rumusannya jampi ini berdoa, aku bermohon kepada Mu Allah agar jayakanlah ikhtiarku untuk memperjuangkan agamaMu.

Kenapa perlu di baca baris atas, bawah dan depan? Ia menunjukkan kedudukan. Allah di atas simbolik terhadap kekuasaanNya. Perjalanan Rasulullah semasa Israk dan Mikraj juga menggambarkan perjalanan menuju ke langit. Di bawah langit ada bumi dan manusia tinggal di bumi. Manusia perlu berikhtiar dan menjadi hambaNya. Di depan, segala apa yang manusia ikhtiarkan perlulah mengikut agama (syarak). Perkara yang diikut tentulah kedudukannya di hadapan. Hanya Allah lebih mengetahui.

Monday, May 23, 2011

Serapah Baju Zirah/Baju Besi

Kategori: Kependekaran
Tujuan: Menahan serangan musuh/ apabila terkena serangan musuh, badan tidak merasa sakit yang keterlaluan


Versi Pertama:

Tuhan aku Allah lindung   (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kanan)
Nabi aku Muhammad lindung  (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kiri)
Aku berlindung dengan kalimah (sambil membuat gaya menyarung baju keseluruhan pada badan)
La illaha illallah (sambil membuat gaya mengikat sabuk/bengkung)

Sekali imbas melihat ayat pertama serapah ini, sudah semestinya kita bertuhankan Allah yang Maha Esa, tuhan mana pula yang Allah nak lindung. Namun jika dikaji semula mungkin sepatutnya bacaannya seperti ini, "Tuhan aku Allah, lindung". Lindung di akhir ayat itulah yang menjadi doa kepada Allah yang diringkaskan dari erti kata "Ya Allah lindungilah aku". Hal yang sama mentafsirkan ayat yang kedua yang mana masih lagi doa tersebut dipanjatkan kepada Illahi. Maka apabila serapah ini dibaca dengan laju, sudah tentulah bunyi ayatnya akan menjadi pelik.

Versi kedua:

Nasrum minallah (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kanan)
Wafatul qorib (sambil membuat gaya menyarung baju pada lengan kiri)
wabashiril mukminin (sambil membuat gaya menyarung baju keseluruhan pada badan dan mengikat bengkung)

Beza versi kedua ini adalah versi kedua adalah terdiri daripada petikan-petikan ayat Al Quran yang membawa maksud, "Pertolongan Allah, dan kemenangan itu hampir, dan berita kemenangan/gembira kepada orang mukminin."

Ada pihak yang akan mempertikaikan bahawa ayat Al Quran tidak boleh dipotong sebahagian dan dicantum dengan ayat yang lain. RB tidak dapat memberi komen mengenai pernyataan ini kerana RB tidak belajar menghukum. Sesungguhnya hukuman itu ketentuan Allah.

RB hanya dapat memberi gambaran ini: benar pendekar zaman dahulu apabila hendak pergi berperang mereka akan membuat persiapan dari segi jasmani dan rohani. Mereka akan mengaji Al Quran, bersolat sunat, berzikir dan barulah pergi berperang. Namun adakalanya serangan daripada musuh itu datang mengejut tidak dijangka. Dalam keadaan terdesak ini, apa yang terlintas difikiran para pendekar, itulah yang didoakan. Dan hasil daripada pengalaman pendekar-pendekar silam yang melalui pengalaman tersebut, doa ini mereka dapati makbul. Maka diajarkanlah kepada yang ingi belajar.

Sunday, May 22, 2011

Jampi Tuju Angin

Kategori: Perubatan
Tujuan: Mengurut dan menghilangkan angin dalam badan
Sumber: Rahsia

Bismillahir rahmannir rahim
Ya Allah, tuju Muhammad, tuju baginda Rasulullah
Bagi Allah, bagi Muhammad, bagi baginda Rasulullah
Walailaha illallah, wallahu akbar, Allah, Allah, Allah
Ya Allah sembuhkanlah penyakit (sebut nama pesakit)
Hanya pada Mu lah tempat aku bermohon ya Allah

Jampi ini menggunakan bahasa Melayu yang diselang-selikan dengan bismillah, tasbih dan selawat. Makna keseluruhan jampi ini jelas dan nyata. Baris kedua dan ketiga lebih berbentuk permohonan kepada Allah dengan berkat dan syafaat Nabi Muhammad supaya angin dalam badan atau pada tempat seliuh dituju keluar daripada badan.

Jampi, Serapah & Mantera

Pengenalan

Pada masa kini, apabila sebut sahaja jampi serapah atau mantera, tanggap pertama yang terpacul difikiran adalah perkara  yang sinonim dengan kekufuran, syirik dan menduakan Allah swt. Masyarakat lebih suka memilih ruqyah berbanding dengan jampi. Sedangkan dari segi bahasanya, ruqyah itu bermaksud jampi. Bezanya cuma ruqyah lebih berupa petikan ayat Al Quran, selawat, atau doa ulama terdahulu yang diselang-selikan mengikut pengajaran guru mursyid.Tidak hairanlah masyarakat lebih suka memilih ruqyah berbanding jampi kerana sumbernya lebih jelas. RB timbulkan sersoalan di sini:

Contoh:
  • Anda adalah seorang yang sering disihir. Seorang guru mengajarkan anda untuk mengamalkan 4Qul sebagai pendinding. 
Persoalan:
  • Apabila mengamalkannya, adakah anda hafal kesemua makna keempat surah Qul tersebut?
  • Jika tidak hafal maknanya adakah tidak makbul atau tidak menjadi pendinding anda?
Awas:
  • Jika terdetik di hati anda berbunyi "aku mesti baca 4Qul setiap, kalau tidak aku kena sihir," atau "bagus 4Qul ni, aku baca, tak kena sihir..."
  • Sedar atau tidak iktiqad yang seperti itu juga mungkin meletakkan diri anda dalam keadaan yang syirik melabelkan ayat Quran lebih berkuasa daripada Allah (nauzubillah).
Rumusan:
  • Tidak kira apapun kaedah atau bahasa anda bermohon/berdoa, perletakkan permohonan tersebut hanyalah kepada Allah yang Esa.

Peringatan:
  • RB tidak menolak ruqyah.
  • Bukanlah hak manusia untuk melabelkan seseorang itu syirik atau tidak. Kita cuma berusaha untuk menghindarinya dan saling mengingati.
Berbalik kepada jampi serapah, seperti apa yang RB nyatakan, tidak kira apapun kaedah atau bahasa kita bermohon mestilah kepada Allah. Di waktu dahulukala, amat sukar untuk kita temui tahfiz. Akan tetapi kita tidak boleh menolak orang dahulu juga warak walaupun mereka tidak tahfiz Al Quran. Jadi pada pendapat RB, jampi serapah adalah satu bentuk doa tetapi bukan dalam bahasa Arab. Orang dahulukala, percakapannya halus dan berkias. Adalah tidak mustahil jika mereka berdoa juga menggunakan perkiasan, yang mana kebanyakkannya adalah bahasa sastera klasik. Adakah tidak makbul jika kita berdoa dalam bahasa Melayu? Makbul atau tidak, semuanya atas kehendak Allah taala. Apa yang penting butir-butir doa perlu difahami dan permohonan itu hanyalah kepada Allah.

Pada label "Mantera beradu" ini, RB kongsikan beberapa jampi yg RB jumpa dan ketahui untuk dikaji bersama atau sekurang-kurangnya untuk tatapan sahaja. Jika ada yang lebih mengetahui harap dapat diperbetulkan RB yang cetek ilmu ini. Kepada para guru, RB menyusun sepuluh jari memohon maaf jika perbuatan RB ini seperti mendedahkan rahsia kepada umum kerana RB percaya ada kaedah tertentu untuk menggunakan jampi serapah ini yang perlu dipelajari terlebih dahulu. Kepada pembaca dinasihatkan jangan mengamalkan membabi buta. Rujuklah kepada yang lebih arif terlebih dahulu.
Sekian.

Saturday, January 1, 2011

THE ARRIVAL

Satu siri dokumentari pendek yang disebarkan melalui internet mengemukakan teori-teori yang difikirkan oleh pengarahnya mengenai kedatangan Dajjal. RB dah lama mendengar mengenai mewujudan siri ini tetapi baru berpeluang menonton dalam masa kebelakangan ini. RB baru dapat menonton hingga ke siri 31.


Siri ini mengemukakan bukan sahaja teori, malah menunjukkan bukti-bukti dalam bentuk video, gambar, dokumen dan sebagainya. Ia menunjukkan yang setiap ketamadunan manusia ada ilustrasi gambar mata satu. Mengapa ada gambar piramid dengan gambar mata satu pada wang dollar Amerika. Apa itu Free Mason dan siapa yang menganggotainya. Siapa Osama bin Laden. Kenapa dia diburu. Kenapa banyak kes UFO di Amerika.

Namun apa yang sangat ditegaskan oleh siri ini ialah senjata yang digunakan oleh entiti ini untuk mengawal dunia. Senjata itu adalah media massa televisyen terutamanya. Ia akan mengawal penontonnya sedikit demi sedikit. Dan atas sebab itulah remaja kita tidak dapat dipisahkan dari hiburan, konsert, artis, fahaman-fahaman yang menyesatkan seperti punk, skinhead, blackmetal. Dan atas kawalannya ke atas media massa dapat menyebabkan masyarakat dunia melabelkan Islam sebagai pengganas, orang Arab bersifat kasar dan biadap. Rakyat Amerika sentiasa hidup dalam ketakutan dengan amaran-amaran palsu dari kerajaan mereka.


RB tidaklah mempercayai apa yang dikemukakan 100% oleh siri ini, tetapi siri ini telah membuka mata dan cara RB melihat cereka-cereka yang disiarkan di kaca televisyen. RB sendiri adalah penggemar cereka-cereka dari Amerika dan kebelakangan ini RB rasakan ada kemepn baru yang dijaja oleh entiti ini. Tontonlah cerita Knowing yang menyampaikan mesej dunia akan kiamat dan beberapa orang terpilih akan diselamatkan oleh UFO yang mana dalam siri "The Arrival" ini menyatakan bahawa UFO juga ada kaitan dengan entiti ini. Tontonlah cerita 2012, kisah yang sama di mana dunia akan kiamat dan Amerika telah membina semula behtera Nabi Nuh untuk menyelamatkan insan terpilih dari kiamat. Tonton juga siri "Supernatural" yang dimainkan di TV3 dalam bulan December 2010 yang menunjukkan Dajjal mempunyai kuasa yang sangat hebat tetapi Dajjal tidak jahat malah mungkin dapat menghalang dari kiamat.

Pada RB, kempen brainwash dari entiti ini nampak sangat ketara. Apapun tekadkanlah iman kita agar bersedia ke atas segala kemungkinan. Dapatkanlah siri "The Arrivals" ini dan nilailah sendiri berbanding dari mendengar cerita sahaja.